Pembersihan Usus

Pengenalan

Salah satu fungsi usus besar (kolon) kita adalah untuk menyimpan najis sebelum ia keluar dari tubuh kita. Oleh itu, sebelum menjalani colonoscopy, usus besar perlulah dikosongkan sepenuhnya supaya benar-benar bersih. Proses ini dipanggil pembersihan usus (bowel preparation).
Pembersihan usus boleh dikatakan adalah aspek paling penting dalam prosedur colonoscopy anda. Sekiranya usus (kolon) anda tidak bersih:

  • Masalah atau penyakit seperti polyp atau ketumbuhan kecil mungkin terlepas pandang daripada dikesan
  • Risiko komplikasi colonoscopy meningkat
  • Kemungkinan besar colonoscopy anda perlu diulang semula beberapa minggu kemudian

Bagaimanakah pembersihan usus dilakukan?

Sebenarnya terdapat 2 bahagian dalam proses pembersihan usus:

  1. Mengawal pemakanan anda sehari sebelum colonoscopy
  2. Minum ubat julap yang berkesan

Mengawal pemakanan anda sehari sebelum colonoscopy

Sehari sebelum colonoscopy anda, anda boleh makan:

  • Nasi putih
  • Roti putih
  • Mee atau bihun putih
  • Ayam tanpa kulit
  • Ikan kukus
  • Sup ayam yang jernih
  • Kopi atau teh hitam tanpa susu (gula dibenarkan)
  • Air kosong
  • Jus buah yang jernih (tanpa pulpa)

Secara umumnya, serat sangat baik untuk sistem pencernaan kita, namun kerana sifatnya yang cenderung melekat pada dinding usus besar, sila elakkan serat sehari sebelum colonoscopy.
Jangan makan:

  • Oat
  • Bijirin
  • Kekacang
  • Buah-buahan
  • Sayur-sayuran
  • Daging merah
  • Produk tenusu seperti susu, yogurt

Sekiranya anda mengambil tablet zat besi (ubat tambah darah), sila hentikan pengambilannya 3 hari sebelum colonoscopy.

Selepas selesai menjalani colonoscopy, sila sambung semula pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kerana ia amat baik untuk kesihatan anda.

Minum ubat julap yang berkesan

Ubat julap pilihan saya ialah ubat yang dipanggil Fortrans. Ia merupakan ubat julap yang paling selamat, serta memberikan pembersihan usus yang paling bersih.

Fortrans datang dalam bentuk paket (sachet), dan anda akan dibekalkan dengan 3 paket. Setiap paket perlu dilarutkan ke dalam 1 liter air. Setelah bancuhan siap, sila bahagikan bancuhan 1 liter tersebut kepada 4 cawan bersaiz 250 ml setiap satu, dan minum setiap cawan setiap 15 minit (ini bermakna, habiskan 1 liter dalam tempoh satu jam). Secara keseluruhannya, anda akan meminum 3 liter bancuhan Fortrans. Anda perlu minum 2 liter sehari sebelum colonoscopy, dan 1 liter pada hari prosedur colonoscopy (sila rujuk jadual yang disyorkan di bawah).

Saya amat mengesyorkan pesakit saya untuk minum Fortrans di rumah, namun ia juga boleh disediakan oleh jururawat kami di Unit Rawatan Harian (Daycare) sekiranya anda berasa kurang yakin untuk membancuh dan meminumnya di rumah. Kelebihan utama meminumnya di rumah ialah kami boleh memulakan prosedur colonoscopy anda seawal jam 8 pagi kerana anda akan tiba ke hospital dalam keadaan bersedia sepenuhnya. Satu lagi kelebihan ialah anda akan berada dalam keselesaan rumah sendiri apabila perlu ke tandas untuk mengosongkan usus besar anda.

Pesakit yang minum Fortrans di Unit Rawatan Harian biasanya hanya bersedia untuk colonoscopy sekitar jam 11 pagi atau 12 tengah hari.

Jadual yang disyorkan

1 hari sebelum colonoscopy anda

Sepanjang hari ini, sila ingat untuk mengehadkan pengambilan makanan anda hanya kepada makanan-makanan tertentu seperti yang telah digariskan sebelum ini.

8 pagi – Makan sarapan pagi anda

12 tengah hari – Makan makan tengahari anda

4 petang – Makan malam awal. Selepas ini, tiada lagi makanan dibenarkan, tetapi sila minum banyak air kosong.

6 petang – Minum 1 liter Fortrans

8 malam – Minum 1 liter Fortrans

10 malam – Tidur

 

Hari prosedur colonoscopy

Apabila anda bangun, hari ini adalah hari colonoscopy anda. Sila bangun awal untuk menghabiskan baki 1 liter Fortrans yang ke-3 dan terakhir.

5 pagi – Minum 1 liter Fortrans

7.30 pagi – Tiba di hospital

8 pagi dan seterusnya – Kami boleh memulakan colonoscopy anda

Sila ingat

Minum Fortrans sahaja tidak akan menghasilkan usus yang bersih sekiranya pantang larang pemakanan tidak dipatuhi.

Bagi membolehkan kami mengetahui sama ada usus anda cukup bersih untuk prosedur colonoscopy, anda mesti mencapai 2 kriteria ini setelah menghabiskan 3 liter Fortrans:

  1. Hanya cecair jernih sahaja yang keluar apabila anda membuang air besar (tiada sisa pepejal kelihatan)
  2. Warna cecair tersebut haruslah hijau muda atau jingga atau kuning (seperti warna air kencing). Jika warna cecair adalah coklat, usus anda masih belum cukup bersih untuk colonoscopy.

Sekiranya anda tidak mencapai 2 kriteria ini, sila maklumkan kepada kami sebaik sahaja anda tiba di Unit Rawatan Harian (Daycare). Kami mungkin akan minta anda untuk minum 1 liter Fortrans lagi. Bagi memudahkan tugas jururawat kami, sila ambil gambar najis terakhir anda setelah selesai minum 3 liter Fortrans.

Akhir sekali, bagi sebilangan kecil pesakit, Fortrans boleh menyebabkan rasa loya yang teruk. Untuk mengurangkan rasa loya ini, berikut adalah beberapa petua dan panduan berguna:

  • Bancuh lah Fortrans awal awal, dan simpan bancuhan tersebut di dalam peti sejuk supaya ia sejuk apabila anda meminumnya. Meminum bancuhan Fortrans pada suhu bilik boleh menyebabkan rasa loya bagi sesetengah pesakit.
  • Minum menggunakan penyedut minuman (straw).
  • Perahkan sedikit jus lemon ke dalam bancuhan tersebut untuk memberikan rasa yang lebih enak.