Endoskopi

Pengenalan

Endoskopi secara mudahnya merujuk kepada sebarang prosedur di mana teropong yang fleksibel dimasukkan ke dalam tubuh anda untuk meneliti organ yang perlu diperiksa.

Terdapat pelbagai jenis prosedur endoskopi, seperti:

  • Gastroscopy
  • Colonoscopy
  • Endoscopic Ultrasound (EUS)
  • Endoscopic Retrograde Cholangiopancreatography (ERCP)
  • Capsule endoscopy

Gastroscopy dan colonoscopy merupakan prosedur yang paling kerap dijalani oleh pesakit, manakala EUS, ERCP, dan capsule endoscopy biasanya hanya dilakukan dalam situasi yang sangat spesifik, dan jarang diperlukan. Halaman ini membolehkan anda mengetahui lebih lanjut tentang prosedur-prosedur endoskopi seperti yang disenaraikan di atas.

Gastroscopy

Apakah prosedur ini?

Gastroscopy adalah ujian yang membolehkan doktor memeriksa esofagus (salur telan), perut, dan duodenum (bahagian pertama usus kecil) anda.

Doktor akan memasukkan teropong fleksibel melalui mulut, dan beliau dapat memeriksa lapisan dalaman esofagus, perut, dan duodenum bagi mengesan sebarang penyakit.

Siapakah yang perlu menjalani gastroscopy?

Sekiranya seseorang kerap mengalami pedih ulu hati, regurgitasi (makanan naik semula), sakit perut, kesukaran menelan, kerap muntah, muntah darah, dan kembung perut yang berpanjangan, gastroscopy akan boleh membantu mengenal pasti punca gejala-gejala tersebut.

Antara penyakit yang boleh dikesan melalui gastroscopy termasuk GERD, ulser perut, gastritis (radang lapisan perut), dan kanser perut.

Secara umum

Gastroscopy

  • Prosedur yang sangat mudah dan ringkas
  • Tidak sakit
  • Hanya mengambil masa kira-kira 10 minit
  • Dijalankan secara Daycare/Rawatan Harian (pesakit tidak perlu bermalam di hospital)
  • Anda akan diberikan ubat bius, jadi anda akan tidur semasa prosedur.

Sebagai persediaan untuk gastroscopy, anda hanya perlu berpuasa selama 6 jam sebelum prosedur.

Risiko

Gastroscopy adalah prosedur yang sangat selamat, namun antara risiko yang perlu anda ketahui termasuk:

  • Jangkitan
  • Kecederaan atau koyak pada dinding perut
  • Kesan sampingan daripada ubat bius seperti paras oksigen rendah dan tekanan darah rendah

Colonoscopy

Apakah prosedur ini?

Colonoscopy adalah ujian yang membolehkan doktor memeriksa kolon (usus besar) anda.

Doktor akan memasukkan teropong fleksibel melalui rongga dubur, seterusnya memeriksa permukaan dalam kolon untuk mengesan sebarang penyakit.

Siapakah yang perlu menjalani colonoscopy?

Sekiranya seseorang mengalami sakit perut, kembung perut yang berpanjangan, darah dalam najis, perubahan tabiat membuang air besar, hilang selera makan, dan susut berat badan mendadak, maka kolonoskopi boleh membantu mengenal pasti puncanya.

Penyakit yang boleh dikesan melalui colonoscopy termasuk kanser kolon, penyakit radang usus (IBD), dan irritable bowel syndrome (IBS).

Colonoscopy juga penting bagi mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolon. Ujian ini digunakan untuk mengesan polyp (ketumbuhan kecil), dan polyp ini boleh dibuang terus semasa colonoscopy dijalankan.

Secara umum

Colonoscopy adalah:

  • Prosedur yang sangat mudah dan ringkas
  • Tidak sakit
  • Hanya mengambil masa kira-kira 20 minit
  • Dijalankan secara Daycare/Rawatan Harian (pesakit tidak perlu bermalam di hospital)
  • Anda akan diberikan ubat bius, jadi anda akan tidur semasa prosedur.

Sebagai persediaan untuk colonoscopy , anda perlu melakukan persediaan usus / 'bowel preparation' (sila rujuk bahagian lain).

Risiko

Colonoscopy adalah prosedur yang sangat selamat, namun antara risiko yang perlu anda ketahui termasuk:

  • Jangkitan
  • Kecederaan atau koyakan pada lapisan dinding kolon
  • Pendarahan, terutamanya jika polyp dibuang semasa prosedur
  • Kesan sampingan daripada ubat bius seperti paras oksigen rendah dan tekanan darah rendah

Endoscopic Ultrasound (EUS)

Apakah prosedur ini?

Endoscopic Ultrasound (EUS) adalah ujian yang membolehkan doktor memeriksa kelenjar pankreas, saluran hempedu (bile duct), pundi hempedu, dan tisu-tisu berhampiran.

Ia menggabungkan teknologi endoskopi dan ultrasound, serta mampu memberikan imej yang sangat terperinci bagi organ yang biasanya sukar diakses seperti pankreas.

Siapakah yang perlu menjalani EUS?

Pesakit yang mempunyai penyakit yang boleh menjejaskan pankreas dan saluran hempedu biasanya perlu menjalani EUS. Mereka mungkin mengalami sakit perut, jaundis (penyakit kuning), demam, dan susut berat badan.

Kerap kali, pesakit telah pun menjalani imbasan CT atau MRI sebelum dirujuk untuk EUS. Imbasan CT atau MRI mungkin telah menunjukkan sesuatu penyakit seperti ketumbuhan, sista (cyst), atau kelenjar (lymph node) yang membengkak, maka pesakit kemudiannya perlu membuat penilaian lanjut melalui EUS.

Semasa EUS, imbasan yang lebih terperinci dapat dilakukan, dan sampel biopsi juga boleh diambil daripada ketumbuhan atau tisu yang tidak normal tersebut.

Secara umum

Prosedur EUS adalah:

  • Agak kompleks dan canggih, serta tidak terdapat secara meluas di kebanyakan hospital
  • Tidak sakit
  • Mengambil masa kira-kira 40 minit
  • Dilakukan secara Daycare/Rawatan Harian (pesakit tidak perlu bermalam di hospital). Walau bagaimanapun, segelintir kecil prosedur EUS mungkin cukup berisiko sehingga doktor memilih untuk memasukkan anda ke wad.
  • Anda akan diberikan ubat bius, jadi anda akan tidur semasa prosedur.

Sebagai persediaan untuk EUS, anda perlu berpuasa selama 6 jam sebelum prosedur.

Risiko

EUS merupakan prosedur yang sangat selamat, namun antara risiko yang perlu anda ketahui termasuklah:

  • Jangkitan
  • Kecederaan atau koyak pada lapisan usus
  • Pendarahan
  • Sampel yang tidak mencukupi, terutamanya jika biopsi diambil daripada ketumbuhan

ERCP

Apakah prosedur ini?

ERCP adalah singkatan bagi Endoscopic Retrograde Cholangiopancreatography. ERCP ialah prosedur yang digunakan oleh doktor untuk merawat penyakit -penyakit yang boleh menjejaskan saluran hempedu atau kelenjar pankreas, seperti kanser pankreas dan batu hempedu.

Siapakah yang perlu menjalani ERCP?

Pesakit yang mengalami masalah berkaitan kelenjar pankreas dan saluran hempedu biasanya perlu menjalani ERCP. Mereka mungkin pernah mengalami sakit perut, jaundis (penyakit kuning), demam, dan susut berat badan.

Pemeriksaan awal biasanya telah dilakukan terlebih dahulu (sama ada imbasan MRI, imbasan CT atau EUS) sebelum pesakit dirujuk untuk prosedur ERCP.

Secara umum

Prosedur ERCP adalah:

  • Agak kompleks dan canggih, namun boleh didapati di kebanyakan hospital
  • Tidak sakit
  • Boleh mengambil masa seawal 15 minit sehingga 2 jam untuk dilakukan, bergantung kepada tahap kesukaran
  • Biasanya dilakukan dengan pesakit dimasukkan ke wad (dalam situasi tertentu, prosedur ini boleh dilakukan secara Daycare/Rawatan Harian)
  • Anda akan diberikan ubat bius, jadi anda akan tidur semasa prosedur.

Sebagai persediaan untuk ERCP, anda perlu berpuasa selama 6 jam sebelum prosedur.

Risiko

ERCP dianggap sebagai salah satu prosedur yang paling mencabar dalam bidang endoskopi. Antara risiko yang perlu anda ketahui termasuklah:

  • Jangkitan
  • Kecederaan atau koyak pada lapisan usus
  • Pendarahan
  • Pankreatitis (radang pankreas), yang boleh bersifat ringan atau teruk. Sekiranya pankreatitis itu teruk, ia boleh menjurus kepada pesakit berada dalam tahap kritikal.
  • Prosedur tidak berjaya

Peringatan Penting

Sangat penting bagi kami untuk mengetahui ubat-ubatan yang sedang anda ambil. Sila maklumkan kepada kami semua ubat yang anda ambil.

Ubat-ubatan tertentu seperti ubat cair darah boleh meningkatkan risiko pendarahan, oleh itu ia perlu dihentikan 1 minggu sebelum prosedur.

Ubat cair darah ini biasanya dimulakan oleh pakar kardiologi anda sekiranya anda mempunyai masalah jantung. Saya biasanya akan meminta anda mendapatkan surat kebenaran daripada pakar kardiologi anda untuk memastikan sama ada ubat cair darah tersebut boleh diberhentikan dengan selamat sebelum prosedur anda. Tolong jangan berhenti ambil ubat cair darah ini tanpa kebenaran rasmi daripada pakar kardiologi anda.

Anda mungkin mengambil ubat GLP-1 seperti Ozempic, Wegovy, Mounjaro untuk rawatan diabetes dan obesiti. Ubat GLP-1 mesti diberhentikan selama 1 minggu sebelum prosedur endoskopi anda.

Sila ambil ubat darah tinggi anda seperti biasa pada hari prosedur. Jangan tinggalkan dos anda, jika tidak, tekanan darah anda mungkin meningkat ke paras yang berbahaya pada hari prosedur.

Sekiranya anda menjalani perlu colonoscopy, persediaan usus merupakan satu aspek yang sangat penting. Sila baca bahagian halaman persediaan usus dengan teliti; bantu saya untuk membantu anda menjalani colonoscopy yang berkualiti tinggi