Saringan Kanser Kolon

Pengenalan

Kanser kolon (juga dikenali sebagai kanser kolorektal) adalah kanser ke-2 paling kerap berlaku di Malaysia. Kanser kolon merangkumi 14.1% daripada semua kanser yang dikesan di Malaysia bagi tempoh tahun 2017-2021; ianya berada di kedudukan ke-2 selepas kanser payudara. Kanser kolon merupakan kanser yang paling kerap berlaku di kalangan lelaki, dan ke-2 paling kerap di kalangan wanita.

75% pesakit kanser kolon sudah pun berada pada tahap III atau IV sewaktu kanser mereka dikesan. Kanser kolon peringkat awal sering kali TIADA sebarang gejala.

Faktor-faktor tertentu meningkatkan risiko untuk mendapat kanser kolon, contohnya:

  • Sejarah keluarga yang menghidap kanser kolon
  • Keadaan kesihatan tertentu seperti akromegali dan ulcerative colitis
  • Obesiti

Apakah yang boleh dilakukan?

Berita baik ialah kanser kolon boleh dicegah. Polyp dalam kolon merupakan ketumbuhan tahap awal sebelum ia bertukar menjadi kanser, dan ia mengambil masa sekitar 5-10 tahun untuk berkembang daripada polyp ringkas hingga menjadi kanser kolon.

Mengesan dan membuang polyp kolon adalah kunci utama untuk mencegah kanser kolon. Ini lah yang menjadi asas kepada saringan kanser kolon. Tiada polyp, tiada kanser. Semudah itu. Saringan berkala akan membantu memastikan perkara ini. Sebaik sahaja anda memulakan saringan, cuma ulangi setiap 5-10 tahun. Amalan peribadi saya adalah untuk mengesyorkan kepada pesakit-pesakit saya untuk ulang colonoscopy selang setiap 5 tahun sekali.

Secara amnya, pesakit boleh mempertimbangkan untuk memulakan saringan seawal usia 45 tahun, walau bagaimanapun seseorang itu perlu bermula lebih awal sekiranya mempunyai sejarah keluarga kanser kolon.

Sentiasa ingat, terdapat perbezaan antara saringan dan pemeriksaan lanjutan (investigation).

Saringan adalah untuk pesakit yang tidak mempunyai sebarang gejala.

Sekiranya anda mempunyai gejala, anda memerlukan pemeriksaan lanjutan sekarang, dan bukannya menunggu sehingga umur 40 atau 45 tahun untuk saringan.

Kaedah-kaedah saringan

1. Kit ujian najis


Ini menguji kehadiran darah di dalam najis anda.

Sama seperti kit ujian Covid, ia boleh dilakukan dengan selesa di rumah anda sendiri. Kit ujian ini boleh diperolehi dari farmasi-farmasi utama.

Jika keputusannya positif, anda memerlukan pemeriksaan colonoscopy. Jika keputusannya negatif, tahniah! Anda boleh uang ujian tersebut selepas 1 tahun.

Ingat, kit ujian najis hanyalah untuk individu yang tidak mempunyai sejarah keluarga kanser kolon. Jika anda mempunyai sejarah keluarga kanser kolon, anda mesti terus menjalani kolonoskopi, dan bukannya kit ujian najis.

Kelebihan kit ujian najis adalah ia tidak invasif, murah, dan boleh dilakukan dengan selesa di rumah anda sendiri. Cuma perlu diketahui bahawa selain daripada kanser kolon atau polyp, terdapat punca lain yang boleh menyebabkan keputusan kit ujian positif, seperti:

  • buasir
  • pendarahan hidung (nosebleeds)
  • ulser perut
  • penyakit radang usus (inflammatory bowel disease)

 

2. Colonoscopy

Teropong fleksibel dimasukkan melalui rongga dubur anda, membolehkan pemeriksaan menyeluruh pada kolon anda. Ia adalah prosedur yang cepat dan tidak sakit, ia membolehkan doktor mengesan polyp dan membuangnya dengan serta-merta.

Kelebihan colonoscopy berbanding kit ujian najis ialah, semasa colonoscopy, sekiranya sebarang polyp dikesan, ia boleh dibuang serta-merta. Satu lagi kelebihan ialah colonoscopy merupakan ujian satu langkah, manakala kit ujian najis adalah ujian dua langkah (jika kit tersebut positif, anda perlu pergi ke langkah seterusnya dengan membuat ujian colonoscopy untuk melengkapkan proses saringan).

Dalam bidang Gastroenterologi, kami mempunyai pepatah, "Ujian saringan yang terbaik adalah ujian yang pesakit laksanakan". Tidak kira mana satu yang anda pilih, selagi anda melakukannya dengan lengkap, anda telah menggembirakan hati saya, kerana saya mengetahui bahawa seseorang telah pun melengkapkan saringan kanser kolon mereka.

Amalkan Gaya Hidup Sihat

Kita semua boleh melakukan perubahan untuk mengurangkan risiko mendapat kanser kolon. Ini termasuk:

  • Kurangkan pengambilan makanan dan minuman yang diproses secara melampau (ultra-processed) serta tinggi gula
  • Kurangkan pengambilan daging merah
  • Tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Kekalkan berat badan yang sihat
  • Bersenam secara kerap
  • Berhenti merokok
  • Elakkan alkohol
  • Jalani saringan secara berkala